Fatwa - Maksud dan Perlaksaananya di Malaysia

Maksud Fatwa

Pada bahasa ia diambil daripada afta-ifta'an yang memberi maksud menjelas dan menghuraikan hukum permasalahan.

Dari Segi Istilah

Pada istilahnya pula, fatwa mempunyai pelbagai definisi antaranya:

  • Fatwa adalah sebagai jawapan yang dibuat oleh mufti pada perkara yang berlaku apabila diajukan soalan kepadanya.
  • Fatwa ialah mengkhabarkan hukum Allah SWT sama ada pada yang mesti atau harus.



Peruntukan Mengenai Fatwa Dalam Undang-Undang

Di dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505], peruntukan mengenai fatwa dijelaskan di bawah Seksyen 34 iaitu:

  • Maksud Fatwa iaitu pendapat atas apa-apa persoalan yang belum diselesaikan atau yang menimbulkan pertikaian mengenai atau berhubung dengan Hukum Syarak;
  • Mengenai bila sesuatu fatwa itu boleh dibuat, iaitu apabila diperintahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, atau atas permintaan orang ramai melalui surat yang dihantar kepada Mufti, atau dibuat atas kehendak Mufti itu sendiri;
  • Sesuatu pernyataan yang dibuat oleh Mufti hanya boleh diambil sebagai fatwa jika pernyataan itu disiarkan dalam warta berhubung dengan Hukum Syarak;
  • Sesuatu fatwa yang telah disiarkan dalam warta hendaklah dipatuhi oleh semua umat Islam yang berada di negeri itu, kecuali amalan peribadi yang dibenarkan mengikut Hukum Syarak; dan
  • Fatwa yang diwartakan merupakan sebahagian daripada undang-undang yang perlu diikuti oleh semua Mahkamah Syariah bagi negeri itu.


Status Keputusan Jawatankuasa Fatwa MKI

Keputusan/ pandangan hukum yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa MKI bukan merupakan fatwa mengikut peruntukan undang-undang. Ia adalah merupakan keputusan/ pandangan hukum yang dicapai secara bersama oleh Mufti-Mufti seluruh Malaysia yang menganggotai Jawatankuasa berkenaan.

Keputusan/ pandangan yang dibuat sebenarnya tidak mengikat negeri-negeri, tetapi sebaliknya ia hanya boleh dikuatkuasakan di peringkat negeri jika negeri berkenaan mengambil tindakan atau menerima pakai keputusan/ pandangan tersebut dan menjadikan ianya sebagai fatwa mengikut proses pembuatan/ pengeluaran fatwa negeri masing-masing.

Oleh itu, Jawatankuasa Fatwa MKI hanya merupakan majlis diskusi/ muzakarah bagi membincang dan memutuskan sesuatu isu/ perkara yang memerlukan pandangan hukum khususnya yang berkaitan dengan isu/ persoalan yang bersifat nasional dan melibatkan kepentingan seluruh persekutuan.

___________

Copy Paste terus dari laman web e-fatwa.gov.my.

Comments

Popular posts from this blog

hyperthyroidism - penyakit yang aku alami

Top 5 Forum Di Malaysia

Top 5 blog paling terkenal di Malaysia